Sunday, July 20, 2008

CASKAN

Saya ingin mengongsi satu cadangan untuk meningkatkan keberkesanan sesi pengajaran dan pembelajaran (p&p) Fizik berasaskan bahan saya bernama 'CASKAN' yang saya gunakan untuk melatih guru-guru Fizik beberapa tahun dahulu. Walaupun penerangan di sini adalah ringkas, saya berharap rakan-rakan guru dapat dicaskan sama ada untuk membahas, membincang atau lebih baik lagi menggunakan cadangan untuk mengajar Fizik (dan mana-mana sains secara amnya).
  • ETEL - Effective Teaching, Effective Learning. Dalam konteks di sini, Effective Teaching bermaksud dapat menyampaikan pelajaran dengan lancar, pengaliran yang licin, pengaliran konsep: dari mudah ke susah, dari konkrit ke abstrak dan dari kontekstual ke prinsip am.

    Effective Learning bermaksud belajar dengan berkesan, seronok, ingin tahu, ada sesi 'hands-on' dan 'minds-on', ada kaitan dengan kehidupan serta kesedaran kepentingan dan keperluan kandungan pelajaran dalam kehidupan.

Konteks 'CASKAN' - jadikan lebih tenaga, input yang meningkatkan paras tenaga. 'CASKAN' merangkumi unsur dan aspek penting dalam p&p yang termasuk set induksi dan motivasi, aspek humanistik, pedagogi yang pelbagai, kemahiran proses sains dan pembelajaran secara aktif. 'CASKAN' merupakan singkatan untuk

  • Cerita
  • Ajaib
  • Sejarah
  • Kontekstual
  • Amali
  • Nota
Cerita

Cerita digemari oleh kebanyakan orang. Cerita boleh mengurangkan tegangan dan menjadikan suasana dalam sesi p&p lebih menarik. Cerita dapat membantu kefahaman dan ingatan konsep sains.

Contoh:

1. Memperkenalkan daya dengan cerita 'The Canai Man'.

http://thinkingallowed1.blogspot.com/2008/04/science-around-us-2.html

2. Masalah kefahaman graf s-t untuk objek pegun: Cerita Arnab dengan kura-kura.

http://thinkingallowed1.blogspot.com/2008/05/many-students-face-problem-of.html


3. Memahami Hukum Newton Ke-3 dengan cerita Mat dan Suzukiyama.

http://thinkingallowed1.blogspot.com/2008/05/hukum-newton-ke-3-newtons-third-law.html


Ajaib

Misteri dan peristiwa ajaib digemari. Buku-buku Harry Potter, filem Star Wars, Aliens, dan lain-lain digemari kerana mempunyai unsur ajaib dan penuh dengan misteri. Sains mempunyai banyak perkara yang 'ajaib' yang sebenarnya bukan ajaib tetapi tidak dialami dalam kehidupan biasa.

Contoh:

1. Supergravity.

2. Black hole.

3. Cahaya : zarah atau gelombang?

4. Elektron : zarah atau gelombang?

5. Matter dan anti-matter.


Guru Fizik bukan diminta mengajar perkara-perkara di atas secara teknikal--tak mingkin! Tetapi, adalah baik jika guru memperkenalkan dengan kaedah popularistik untuk merangsangkan pemikiran dan sifat ingin tahu murid-murid.


Sejarah

Pembelajaran sains menjadi lebih humanistik jika murid-murid diberitahu tentang usaha, pengorbanan, kegigihan manusia disebalik teori dan hukum. Dengan kaedah ini, pembelajaran sains akan menjadi lebih bermakna dan sifat-sifat saintis yang boleh memberi motivasi dan dorongan kepada murid-murid.


Sebagai contoh, cerita Einstein (1879-1955), kehidupan jaya-gagal beliau, 'The Year of Miracle -- 1905' -- Gerakan Brown, Kesan fotoelektrik dan Teori Relativiti Khas dapat menunjukkan sifat-sifat kemanusiaan yang terlibat dalam proses kajian sains.


Cerita Tycho Brahe menunjukkan kepentingan pengutipan data melalui pemerhatian. Usaha Johannes Kepler menerangkan betapa pentingnya penganalisisaan data untuk merumuskan formula. Kejayaan Isaac Newton menjadi contoh klasik pemikiran dan rumusan teori berdasarkan hubungan geometri antara gerakan planet. Pemikiran Albert Einstein menunjukkan bagaimana imaginasi luar dari biasa dapat menambahkan satu lagi dimensi iaitu masa menyatupadukan hubungan ruang-masa.


Berikut ialah satu bahan bacaan yang berkenaan dengan sejarah sains.
http://thinkingallowed1.blogspot.com/2008/04/albert-einsteins-miraculous-year.html

Kontekstual

Adalah lehih mudah dan menarik jika prinsip sains/fizik dipelajari dalam konteks aplikasi yang ada hubung kaitan dengan kehidupan dan alam sekitar. Berikut adalah beberapa contoh :


1. Berkenaan tekanan :

http://thinkingallowed1.blogspot.com/2008/04/science-around-us-3.html


2. Berkenaan daya impuls (impulsive force) :

http://thinkingallowed1.blogspot.com/2008/05/science-around-us-5.html


3. Berkenaan pembaziran tenaga :

http://thinkingallowed1.blogspot.com/2008/05/kecekapan.html


Amali

Latihan kemahiran proses sains sangat penting. Siasatan saintifik melalui sesi amali yang dirancangkan dengan baik dapat melatih pemikiran kritikal, analitikal dan sistematik. Kerja amali ialah satu kaedah penting yang melibatkan lebih banyak modaliti--lihat, sentuh, rasa, dengar dan bau.


Latihan asas amali adalah perlu untuk membolehkan murid-murid menghadapi dunia sebenar di mana
bukan semua usaha itu licin dan unggul. Kegagalan menghasilkan sesuatu keputusan adalah sebahagian daripada rutin dalam kajian dan penyiasatan saintifik.

Nota

Nota dalam bentuk nota terpandu, latihan terbimbing dan latihan separa terbimbing merupakan satu aspek pembelajaran aktif yang sangat penting. Pembinaan nota cara ini dapat melatih kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif--satu aspek penting pembelajaran akses kendiri dalam zaman yang penuh dengan maklumat yang diperolehi dengan cepat.


Akhir sekali, saya harap guru-guru fizik/sains tidak kata---"Mana ada masa untuk semua ini." Saya berpendapat lebih banyak masa akan dibazirkan jika untuk 'menjimat masa' kaedah mudah seperti kaedah 'kuliah satu hala', kaedah 'ajar teori sahaja tanpa merujuk kepada aplikasi kontekstual' atau kaedah 'baca sendiri' lebih membuang masa jika pada akhirnya, majority daripada murid tak dapat mengikut pelajaran atau mendapat ilmu daripada orang lain. Jangan lupa ETEL--satu pegangan profesionalisme yang mesti menjadi prinsip semua guru.

No comments: