Sunday, July 20, 2008

CASKAN

Saya ingin mengongsi satu cadangan untuk meningkatkan keberkesanan sesi pengajaran dan pembelajaran (p&p) Fizik berasaskan bahan saya bernama 'CASKAN' yang saya gunakan untuk melatih guru-guru Fizik beberapa tahun dahulu. Walaupun penerangan di sini adalah ringkas, saya berharap rakan-rakan guru dapat dicaskan sama ada untuk membahas, membincang atau lebih baik lagi menggunakan cadangan untuk mengajar Fizik (dan mana-mana sains secara amnya).
  • ETEL - Effective Teaching, Effective Learning. Dalam konteks di sini, Effective Teaching bermaksud dapat menyampaikan pelajaran dengan lancar, pengaliran yang licin, pengaliran konsep: dari mudah ke susah, dari konkrit ke abstrak dan dari kontekstual ke prinsip am.

    Effective Learning bermaksud belajar dengan berkesan, seronok, ingin tahu, ada sesi 'hands-on' dan 'minds-on', ada kaitan dengan kehidupan serta kesedaran kepentingan dan keperluan kandungan pelajaran dalam kehidupan.

Konteks 'CASKAN' - jadikan lebih tenaga, input yang meningkatkan paras tenaga. 'CASKAN' merangkumi unsur dan aspek penting dalam p&p yang termasuk set induksi dan motivasi, aspek humanistik, pedagogi yang pelbagai, kemahiran proses sains dan pembelajaran secara aktif. 'CASKAN' merupakan singkatan untuk

  • Cerita
  • Ajaib
  • Sejarah
  • Kontekstual
  • Amali
  • Nota
Cerita

Cerita digemari oleh kebanyakan orang. Cerita boleh mengurangkan tegangan dan menjadikan suasana dalam sesi p&p lebih menarik. Cerita dapat membantu kefahaman dan ingatan konsep sains.

Contoh:

1. Memperkenalkan daya dengan cerita 'The Canai Man'.

http://thinkingallowed1.blogspot.com/2008/04/science-around-us-2.html

2. Masalah kefahaman graf s-t untuk objek pegun: Cerita Arnab dengan kura-kura.

http://thinkingallowed1.blogspot.com/2008/05/many-students-face-problem-of.html


3. Memahami Hukum Newton Ke-3 dengan cerita Mat dan Suzukiyama.

http://thinkingallowed1.blogspot.com/2008/05/hukum-newton-ke-3-newtons-third-law.html


Ajaib

Misteri dan peristiwa ajaib digemari. Buku-buku Harry Potter, filem Star Wars, Aliens, dan lain-lain digemari kerana mempunyai unsur ajaib dan penuh dengan misteri. Sains mempunyai banyak perkara yang 'ajaib' yang sebenarnya bukan ajaib tetapi tidak dialami dalam kehidupan biasa.

Contoh:

1. Supergravity.

2. Black hole.

3. Cahaya : zarah atau gelombang?

4. Elektron : zarah atau gelombang?

5. Matter dan anti-matter.


Guru Fizik bukan diminta mengajar perkara-perkara di atas secara teknikal--tak mingkin! Tetapi, adalah baik jika guru memperkenalkan dengan kaedah popularistik untuk merangsangkan pemikiran dan sifat ingin tahu murid-murid.


Sejarah

Pembelajaran sains menjadi lebih humanistik jika murid-murid diberitahu tentang usaha, pengorbanan, kegigihan manusia disebalik teori dan hukum. Dengan kaedah ini, pembelajaran sains akan menjadi lebih bermakna dan sifat-sifat saintis yang boleh memberi motivasi dan dorongan kepada murid-murid.


Sebagai contoh, cerita Einstein (1879-1955), kehidupan jaya-gagal beliau, 'The Year of Miracle -- 1905' -- Gerakan Brown, Kesan fotoelektrik dan Teori Relativiti Khas dapat menunjukkan sifat-sifat kemanusiaan yang terlibat dalam proses kajian sains.


Cerita Tycho Brahe menunjukkan kepentingan pengutipan data melalui pemerhatian. Usaha Johannes Kepler menerangkan betapa pentingnya penganalisisaan data untuk merumuskan formula. Kejayaan Isaac Newton menjadi contoh klasik pemikiran dan rumusan teori berdasarkan hubungan geometri antara gerakan planet. Pemikiran Albert Einstein menunjukkan bagaimana imaginasi luar dari biasa dapat menambahkan satu lagi dimensi iaitu masa menyatupadukan hubungan ruang-masa.


Berikut ialah satu bahan bacaan yang berkenaan dengan sejarah sains.
http://thinkingallowed1.blogspot.com/2008/04/albert-einsteins-miraculous-year.html

Kontekstual

Adalah lehih mudah dan menarik jika prinsip sains/fizik dipelajari dalam konteks aplikasi yang ada hubung kaitan dengan kehidupan dan alam sekitar. Berikut adalah beberapa contoh :


1. Berkenaan tekanan :

http://thinkingallowed1.blogspot.com/2008/04/science-around-us-3.html


2. Berkenaan daya impuls (impulsive force) :

http://thinkingallowed1.blogspot.com/2008/05/science-around-us-5.html


3. Berkenaan pembaziran tenaga :

http://thinkingallowed1.blogspot.com/2008/05/kecekapan.html


Amali

Latihan kemahiran proses sains sangat penting. Siasatan saintifik melalui sesi amali yang dirancangkan dengan baik dapat melatih pemikiran kritikal, analitikal dan sistematik. Kerja amali ialah satu kaedah penting yang melibatkan lebih banyak modaliti--lihat, sentuh, rasa, dengar dan bau.


Latihan asas amali adalah perlu untuk membolehkan murid-murid menghadapi dunia sebenar di mana
bukan semua usaha itu licin dan unggul. Kegagalan menghasilkan sesuatu keputusan adalah sebahagian daripada rutin dalam kajian dan penyiasatan saintifik.

Nota

Nota dalam bentuk nota terpandu, latihan terbimbing dan latihan separa terbimbing merupakan satu aspek pembelajaran aktif yang sangat penting. Pembinaan nota cara ini dapat melatih kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif--satu aspek penting pembelajaran akses kendiri dalam zaman yang penuh dengan maklumat yang diperolehi dengan cepat.


Akhir sekali, saya harap guru-guru fizik/sains tidak kata---"Mana ada masa untuk semua ini." Saya berpendapat lebih banyak masa akan dibazirkan jika untuk 'menjimat masa' kaedah mudah seperti kaedah 'kuliah satu hala', kaedah 'ajar teori sahaja tanpa merujuk kepada aplikasi kontekstual' atau kaedah 'baca sendiri' lebih membuang masa jika pada akhirnya, majority daripada murid tak dapat mengikut pelajaran atau mendapat ilmu daripada orang lain. Jangan lupa ETEL--satu pegangan profesionalisme yang mesti menjadi prinsip semua guru.

Wednesday, July 16, 2008

SEK MEN KEB SIMPANG RENGAM, KLUANG, JOHOR.

MODUL EXPLORACE PANITIA FIZIK

  1. Bilangan ahli sekumpulan : 3 orang murid menengah atas
  2. Bilangan kumpulan : 10 – 12 kumpulan
  3. Bilangan stesyen : 6
  4. Operasi :
    • Semua Kad Klu, kad tugasan dan kad mata bonus dicetak pada kad-kad kecil
    • Semua stesyen telah ditetapkan kedudukannya secara rahsia sebelum explorace dijalankan.Papan tanda logo stesyen hanya boleh dipacak semasa semua peserta dikumpulkan di check-point pelepasan.
    1. Semua kumpulan dikumpulkan di satu check-point dan diberi Kad Klu 1. Kesemua peserta kemudian dilepaskan serentak oleh Pengetua / Penolong Kanan / GPK Koko.
    2. Berdasarkan gambar yang terdapat pada Kad Klu 1, ahli kumpulan mula bergerak mencari Stesyen 1. [ Nota : Logo Stesyen 1 perlu dipacak/ tampal berhampiran dengan stesyen]
    3. Mana-mana kumpulan yang tiba di stesyen tersebut akan diberi Kad Tugasan 1 yang mengandungi arahan tugas yang perlu disiapkan di stesyen itu.
    4. Setelah tugasan disempurnakan, ahli perlu menunjukkan hasilnya kepada Juri yang sejak awal sudah berada di stesyen itu. Juri akan memberi markah berdasarkan pemarkahan yang telah ditetapkan oleh Guru Panel. Tiga kumpulan pertama yang berjaya menyiapkan tugasan lebih awal diberikan :
      1. Kad Mata Bonus 1, 2 atau 3
      2. Kad Klu 2 manakala kumpulan lain hanya menerima Kad Klu 2 untuk ke Stesyen 2.
    5. Di stesyen seterusnya, mereka mengulangi langkah 3 dan 4 hinggalah menamatkan tugasan diStesyen 6.
    6. Setelah tamat tugasan di stesyen 6, ahli-ahli kumpulan perlu segera mencari Stesyen Penamat dan menyerahkan semua kad klu, kad tugasan dan kad mata bonus kepada Guru Penyelaras. Tiga kumpulan pertama yang berjaya sampai awal dan lengkap dengan set kad dari keenam-enam stesyen (kad klu, kad tugasan stesyen, kad mata bonus (jika ada) dan kad ”Selesai”) akan diberi kad mata bonus 1, 2 dan 3.
    7. Kedudukan pemenang ditentukan daripada jumlah markah yang dipungut dari setiap stesyen dicampur dengan mata bonus.
Contoh Tugasan Mengikut Stesyen :
Arahan Tugasan :

Stesyen 1 : MENARA AJAIB
(Bahan : Straw, pita selofan, pisau, benang dan lidi)

(Markah berdasarkan reka bentuk, ketahanan menara dan tempoh masa berat air dapat bertahan)


Arahan :
Anda diminta menggunakan bahan-bahan yang disediakan di dalam beg yang diberi untuk membina sebuah menara yang dapat menampung berat setengah gelas air. Menara yang telah siap perlu diuji di hadapan Juri.





Kad Klu 2 :

Arahan Tugasan :

Stesyen 2 : FORMULA 3
(Bahan : 4 Bateri 1.5 V, pemegang bateri, mentol 6 V, suis tekan, voltmeter dan wayar penyambung)


Arahan :
Berdasarkan rajah litar yang diberi, anda diminta menyusun komponen elektrik yang disediakan untuk membina litar lengkap yang dapat menyalakan mentol. Nyatakan bacaan voltmeter dan lakukan ujian nyalaan di hadapan Juri.
















Kad Klu 3 :


Arahan Tugasan :

Stesyen 3 : ”LANDING EGG’
(Bahan : Sebiji telur mentah, beg plastik, tali rafia, pisau, akhbar lama, plastisin, pita selofan dan lidi)


Arahan :
Anda diminta menggunakan bahan-bahan yang diberi untuk mereka sebuah alat yang dapat mendaratkan telur dari tingkat 4 salah sebuah bangunan dengan selamat. Kerja merekabentuk mesti dibuat di kaki lima tingkat bawah. Sebelum telur dijatuhkan, anda dikehendaki menunjukkan hasil kerja kumpulan anda kepada Juri.








Kad Klu 4
Arahan Tugasan

Stesyen 4 mempunyai logo berikut :

Stesyen 4 : SMKSR-SAT
(Bahan : Botol air karbonat 1.5 L, plastik rata dan keras, double-sided tape/ gam UHU, gunting)

[* Pelancar roket dan air disediakan berhampiran Juri, plastik rata bertujuan membina sayap roket]


Aplikasikan bahan-bahan yang diberi untuk menghasilkan roket yang dapat dilancarkan pada jarak sasaran maksimum. Roket yang telah siap perlu diserahkan kepada Juri untuk penilaian binaan dan kemudian anda perlu melancarkan roket itu di hadapan Juri.






Kad Klu 5
Arahan Tugasan

Stesyen 5 : Tangga Kuasa

- Pilih bangunan 3 atau 4 tingkat yang mempunyai 2 tangga
-Penimbang berat badan diletakkan di tepi salah satutangga

Bahan :Jam randik dalam sampul
[Papan white-board kecil, pen white- board dan mesin kira elektronik dipegang oleh Juri di tingkat 4)

Timbang jisim badan salah seorang ahli kumpulan anda dan beliau perlu menaiki tangga ke tingkat 4 sambil merekod masa dari anak tangga pertama tingkat bawah sehingga berakhir di tingkat 4. Tuliskan bilangan mata tangga pada white-board yang dipegang oleh Juri. Jika betul, kirakan kuasa anda. Tinggi satu anak tangga akan dimaklumkan kepada anda oleh Juri.

Sekiranya bilangan anak tangga anda salah, anda perlu mengulangi kiraan dengan turun melalui tangga yang satu lagi dan naik semula melalui tangga asal stesyen ini.



Kad Klu 6
Arahan Tugasan


Stesyen 6 : Fun Balloon

Bahan :Besen besar berisi tepung gandum 2 – 3 kg, gelang getah dan belon

Dengan menggunakan mulut anda, cari satu belon dalam besen yang disediakan. Setelah itu, tiup belon isehingga saiznya lebih kurang sebesar buah kelapa. Ikat belon itu.

Ambil kad bertulis ’Selesai” daripada pelajar / guru yang bertugas di stesyen ini. Bawa belon, kad ”Selesai dan semua kad dari stesyen-stesyen sebelumnya kepada Guru yang menunggu di garis penamat.







*Nota : Bilangan stesyen dan jenis aktiviti tugasan boleh diubahsuai mengikut kesesuaian lokasi dan peralatan sekolah.


Disediakan oleh :

Norazah Hj. Beduroding
Ketua Panitia Fizik
SMK Simpang Rengam