Saturday, June 21, 2008

Panduan Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Fizik Untuk Peningkatan Prestasi Fizik Peringkat SPM (3)

3. Kemahiran Makmal
Panduan kemahiran makmal :
  • Fizik adalah mata pelajaran praktikal bukan teori sahaja. Penggunaan teaching courseware TC semata-mata tidak mencukupi. Perlu ada aktiviti 'hands-on’ semasa pengajaran dan pembelajaran.
  • Seorang guru perlu merancang aktiviti 'hands-on' yang paling sesuai bagi setiap topik.
  • Amali wajib tentang penggunaan alatan dan pengetahuan tentang kepekaan alatan ukuran tersebut perlu diketahui oleh pelajar. Alatan asas yang perlu digunakan ialah jam randek, pembaris, neraca tiga jalur, ammeter dua bacaan, voltmeter dan jangkasuhu.
  • Setiap guru perlu tahu kekangan tentang tentang eksperimen yang dijalankan di makmal. Sebagai contoh, eksperimen Hukum Charles dan Hukum Tekanan sangat sukar dilakukan kerana alat pengukuran tekanan udara yang tidak peka dan perubahan isipadu udara yang sangat sedikit.
  • Setiap orang guru perlu tahu memilih alatan yang sesuai, contohnya eksperimen aruhan elektromagnet perlu menggunakan OSK bukannya ammeter kerana ammeter tidak cukup peka.
  • Guru perlu perlu mencuba semua eksperimen yang dibuat oleh pelajar. Guru juga perlu mencatat sendiri data, melukis graf dan menentukan langkah keselamatan semasa eksperimen. Data atau graf ini boleh digunakan sebagai rujukan / skema permarkahan semasa menyemak eviden/laporan amali pelajar.
  • Adalah lebih baik sekiranya eksperimen yang ditunjukkan dalam TC ditunjukkan secara ”live” untuk jika ada kelapangan.
4. Beza Sukatan Lama dan Baru
Sukatan baru (dalam Bahasa Inggeris) bukan semata-mata terjemahan dari sukatan lama (dalam Bahasa Melayu). Guru perlu rujuk kepada huraian sukatan pelajaran yang terkini untuk mengenalpasti perbezaan dengan sukatan yang lama. Yang berikut adalah beberapa perbezaan antara sukatan lama (KBSM Semak Semula, dalam BM) dan sukatan yang baru.
  • Tingkatan 4, Bab 2: Masalah lif dan takal tidak ditegaskan lagi dalam sukatan baru.
  • Tingkatan 4, Bab 2: Tambahan sukatan baru - Efficiency, Elasticity (Sukatan lama di Bab 3), Elastic Potential Energy.
  • Tingkatan 4, Bab 3 : Pengembangan, resapan, gerakan Brown, kekuatan dan ketegaran, tegangan permukaan,, daya lekatan dan daya lekitan tidak ditegaskan lagi dalam sukatan baru.
  • Tingkatan 4, Bab 4 : Faktor-faktor mempengaruhi sejatan, perbandingan antara penyejatan dan pendidihan tidak ditegaskan lagi dalam sukatan baru.
  • Tingkatan 5, Bab 1 : Susunan kandungan dalam sukatan baru mengikut fenomena dan bukan mengikut jenis gelombang seperti dalam sukatan lama. Pantulan gelombang air untuk pemantul lengkung tidak ditegaskan lagi.
  • Tingkatan 5, Bab 1 : Parutan belauan, jenis gelombang radio, penerimaan gelombang radio dan telekomunikasi tidak ditegaskan lagi.
  • Elektrik dan keelektromagnetan dalam sukatan lama telah dipisahkan kepada dua bab. Pengubahsuaian meter gegelung bergerak tidak ditegaskan lagi.
  • Tingkatan 5, Bab 4 : Litar penambah separuh, penolak separuh dan flip-flop tidak ditegaskan lagi.

No comments: